BENDERA negara bukanlah sekadar secebis kain namun ia sebagai pengenalan atau identiti kepada negara, namun bendera bagi negara adalah amat berharga serta bernilai tinggi. Nilai sehelai atau sekeping bendera bagi negara sama seperti harta pusaka yang tidak dapat dijual beli atau ditukar ganti. Ini kerana bendera merupakan pengenalan bagi negara yang mana ia menggambarkan kemegahan, maruah, kebebasan, kemerdekaan dan sebagai identiti negara di mata dunia.
Begitulah halnya bendera dalam sesebuah peperangan umpamanya merupakan satu tanda yang paling bermakna yang mana kemenangan dan maruah negara bergantung pada bendera yang dipegang atau dipertahankan oleh tenteranya. Gugur dan jatuhnya bendera bermakna gugurlah kemegahan, maruah, kebebasan, kemerdekaan dan identiti negara. Itulah antara nilai dan harga bendera jika berada di medan peperangan.
Negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-58.
Dalam sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan negara kita, maka semua rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk sama-sama menaikkan bendera negara berkibar megah di angkasa bumi Malaysia yang kita cintai ini. Hormatilah bendera negara atau kebangsaan kita dengan sebaiknya kerana bendera Negara kita iaitu Malaysia adalah tanda maruah dan identiti kita sebagai rakyat dan penduduk di negara yang kita kasihi ini. Jangan biarkan bendera negara jatuh ke bumi, apatah lagi membiarkannya kotor dan tidak dipeduli, hormati dan jagalah bendera negara seperti menjaga diri kita sendiri.
Kibarkanlah bendera kebangsaan di rumah kita, bangunan-bangunan atau premis-premis kerajaan mahupun swasta di seluruh negara dalam sama-sama mempamerkan rasa syukur, semangat cintakan negara, kasihkan bangsa, tanah air tumpah darah kita, semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya dan rasa bangga kita sebagai sebahagian dari Negara Malaysia yang permai ini juga.
Hormati dan kibarkanlah bendera kebangsaan kita dengan megahnya, kerana bendera kebangsaan kita adalah identiti dan maruah kita jua, gugur dan jatuh bendera negara seperti menjatuhkan maruah kita sama, maka jangan dibiar bendera negara kita diabai begitu sahaja, hormati serta naik dan kibarkanlah bendera kita dengan gahnya, sebagai tanda syukur, bukan mudah prajurit berjuang untuk memperoleh kemerdekaan bagi anak bangsanya, pelbagai liku telah diharungi dan dilaluinya, hingga mampu menghirup udara kemerdekaannya, panjatkanlah doa kepada setiap yang telah dicapainya, hingga kini tetap harmoni, bahagia, sejahtera, sentosa dan merdeka.
Salam Merdeka.
No comments:
Post a Comment